mutakhir

Geng Katik tumpas

Oleh Hasbi Sidek

SEKUMPULAN lelaki dikenali sebagai Geng Katik yang terbabit dalam lebih 10 kes jenayah membabitkan samun tepi jalan, ragut, pecah rumah dan mencuri motosikal, tumpas selepas mereka ditahan dalam beberapa siri tangkapan di Petaling Jaya, sejak 28 Februari lalu.

Hasil tangkapan terhadap lima daripada enam ahli kumpulan berkenaan yang berusia 22 hingga 35 tahun itu, pihak polis berjaya merampas pelbagai barang yang dipercayai hasil jenayah mereka yang dianggarkan bernilai RM70,000.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, serbuan pertama dibuat di parkir motosikal Apartmen Idaman, dekat Damansara Damai, Petaling Jaya, kira-kira 8 pagi, Khamis lalu, dan berjaya memberkas dua lelaki.

“Soal siasat suspek yang ditahan, polis Bahagian Risikan Jenayah D4 Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya ini kemudiannya menahan seorang lagi suspek di apartmen terbabit, pada hari sama, 12.30 tengah hari.

“Kira-kira 4 hingga 5 petang, dua lagi suspek berjaya diberkas dalam dua serbuan berasingan di sekitar Desa Riang, Damansara Damai,” katanya dalam sidang media, di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan air kencing terhadap semua suspek yang berusia 22 hingga 35 tahun itu mendapati mereka positif dadah jenis Methaphetamine dan empat daripada mereka didapati mempunyai sehingga 10 rekod jenayah.

“Hasil serbuan dan soal siasat, kami merampas pelbagai barang. Antaranya, tiga motosikal, 23 telefon bimbit pelbagai jenama, dua pisau, 13 jam tangan, sembilan beg, satu komputer riba, satu loket jed, lima barang kemas dan empat set peralatan untuk curi motosikal serta pecah rumah yang diubahsuai dengan anggaran bernilai RM70,000.

“Justeru, kami masih mengesan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan yang dikenali sebagai Mohd Shafiq Mohd Shah, 31, yang beralamat di Taman Sri Sungai Buloh, Sungai Buloh,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 1:32pm
d