mutakhir

Tahan azab hampir sejam

Oleh Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

KANAK-KANAK perempuan terpaksa menahan seksa hampir sejam selepas kaki kirinya tersepit pada besi penutup longkang di Taman Kamunting Jaya, Kamunting di Taiping, semalam.

Bomba yang menerima laporan kejadian pada 8.46 malam ke lokasi kejadian dan mendapati sebelah kaki kanak-kanak berusia 11 tahun itu terperosok hingga paras paha dan tersepit pada jejari besi penutup longkang terbabit.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kamunting berkata, pihaknya terus menjalankan operasi mengeluarkan kaki mangsa yang tersepit itu menggunakan peralatan menyelamat.

“Kanak-kanak perempuan itu dipercayai terjatuh selepas memijak penutup longkang terbabit yang mengakibatkan kaki kirinya tersepit pada jejari besi penutup longkang.

“Bomba kemudian menggunakan peralatan khas untuk merenggangkan jejari besi berkenaan sehingga berjaya melepaskan kaki mangsa yang tersepit,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian dihantar ke hospital untuk mendapatkan rawatan dan khidmat kemanusiaan mangsa tersepit itu tamat pada jam 9.32 malam.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 2:14pm
d