mutakhir

Sultan Selangor kecewa perbuatan hina Nabi SAW

Oleh Iskandar Shah Mohamed

SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan perbuatan segelintir masyarakat bukan Islam yang menghina keperibadian junjungan besar Rasulullah SAW sejak kebelakangan ini.

Ia dizahirkan baginda selepas berbincang dengan Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor hari ini.

Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais berkata, penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan isu yang mencemar kesucian Islam sudah kerap berlaku sehingga ke tahap mencabar kesabaran umat Islam.

“Agama Islam adalah agama Persekutuan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan yang perlu sentiasa dihormati oleh setiap rakyat negara ini.

“Walaupun perbuatan penghinaan terhadap Rasulullah SAW dan kesucian Islam ini satu kesalahan di bawah undang-undang dan tindakan serta hukuman sudah dikenakan terhadap mereka yang melakukannya, ia masih tetap berlaku dan seolah-olah tiada kesan terhadap tindakan yang diambil terhadap golongan itu,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagi membendung gejala penghinaan itu, Sultan Sharafuddin mengingatkan kepada rakyat terutama yang bukan beragama Islam supaya menghentikan perbuatan itu.

“Perbuatan itu bukan saja boleh menggugat keharmonian dan perpaduan rakyat, malah menyebabkan rusuhan antara kaum dan agama yang akan mengakibatkan permusuhan berpanjangan antara kaum di negara ini.

“Sejarah sudah menunjukkan sesebuah negara boleh porak peranda sekiranya rakyat bermusuhan kerana tidak menghormati agama yang dianuti oleh pelbagai kaum.

“Sebagai Raja yang juga Ketua Agama Islam negeri Selangor, baginda menegaskan bahawa memelihara maruah agama Islam serta maruah junjungan Rasulullah SAW adalah tuntutan utama dalam maqasid syariah dan menjadi tanggungjawab umat Islam untuk sentiasa mempertahankannya,” katanya.

Kata Hanafisah, peringatan Sultan Sharafuddin itu perlu diambil serius oleh rakyat terutama golongan bukan Islam sekiranya mahu keharmonian dan perpaduan kaum dan agama terus kekal.

“Ia bukan sekadar untuk golongan bukan Islam tetapi kepada umat Islam. Umat Islam juga perlu sentiasa berwaspada dalam melontarkan sebarang pandangan berkaitan dengan agama lain.

“Malah, Allah SWT melarang keras umatnya mencerca sembahan agama lain kerana ia antara penyebab berlakunya ketidakharmonian hidup dalam masyarakat. Islam adalah agama yang amat mementingkan keharmonian dalam kehidupan bermasyarakat,” katanya.

Beliau berkata, Ahli-Ahli Dewan Diraja Selangor menjunjung segala titah Sultan Sharafuddin dan turut terkesan dengan kekecewaan yang dizahirkan baginda mengenai isu berkenaan.

“Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Peguam Negara digesa mengambil berat atas peringatan baginda dengan mengambil langkah berkesan dan efektif bagi menangani masalah ini.

“Siasatan terperinci terhadap individu yang disyaki melakukan kesalahan perlu segera dilaksanakan dan tindakan pendakwaan diambil terhadap mereka jika terdapat keterangan yang mencukupi,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 2:44pm
d