mutakhir

Maut langgar pikap

Oleh Harun Yahya

DUA lelaki maut apabila motosikal yang mereka naiki bertembung dengan sebuah pikap jenis Toyota Hilux di Jalan Sungai Bidut, di sini, malam tadi.

Mereka yang maut dalam kejadian pada jam 9:36 malam itu dikenalpasti sebagai Lawrence Layau Muling, 27, dan Alexia Lanau, 26.

Ketua Polis Daerah Sibu Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit berkata, kedua-dua mangsa yang disahkan maut di tempat kejadian itu berasal dari Rumah Panjang Muling, Sungai Suchong, Balut, Julau.

“Toyota Hilux yang terbabit dalam kemalangan itu menghala ke arah Bawang Assan dari Sungai Merah dan setibanya di lokasi kejadian, motosikal jenis SYM BX110 yang dinaiki dua mangsa tiba-tiba memasuki lorong bertentangan menyebabkan berlakunya pertembungan.

“Penunggang dan pembonceng motosikal itu disahkan maut di tempat kejadian akibat kecederaan di beberapa anggota badan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Stanley berkata, siasatan awal pihaknya mendapati penunggang motosikal terbabit tidak memiliki lesen memandu.

“Pemandu Toyota Hilux dan anak perempuannya yang berusia setahun 11 bulan tidak mengalami kecederaan namun isterinya mengalami kecederaan ringan dan mendapatkan rawatan di Hospital Sibu.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sibu untuk tindakan lanjut dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 3:06pm
d