mutakhir

'Jika ada salah silap, kami mohon maaf'- Mukhriz

Oleh Muhamaad Razis Ismail

PAKATAN Harapan (PH) akan memperhalusi mesej rakyat susulan kekalahan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Sabtu lalu.

Naib Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pihaknya perlu mengambil iktibar dan menerima keputusan rakyat yang tidak pernah silap dalam membuat pilihan.

“Kami akan mengambil iktibar daripada keputusan itu untuk membuat lebih baik, agaknya banyak perkara kami perlu perhatikan dengan lebih teliti apa yang menyebabkan rakyat kurang yakin dengan PH.

“Jika ada salah silap, kami mohon maaf dan pada masa sama mesej yang disampaikan rakyat akan diperhalusi untuk tujuan penambahbaikan,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pengurniaan Kehormatan Kebesaran Kelantan sempena Ulang Tahun Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V, di Kota Bharu, hari ini.

Seramai 393 menerima Darjah Kebesaran, Bintang, Pingat dan Surat Kepujian yang diketuai Mukhriz yang menerima Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia (S.J.M.K) yang membawa gelaran Datuk.

Mengulas mengenai PRK DUN Rantau, Mukhriz berkata, pemilihan calon PH untuk bertanding di kerusi berkenaan tidak boleh dipandang ringan.

“Lebih-lebih lagi bekas Menteri Besar (Datuk Seri Mohamad Hassan) yang bertanding di kerusi berkenaan,” katanya.

Mengenai majlis hari ini, Menteri Besar Kedah itu bersyukur dan berterima kasih kepada Sultan Muhammad V dengan penganugerahan darjah kebesaran itu.

“Ini satu kemuliaan sangat bermakna kepada diri saya. Sebenarnya saya tertanya jugalah apakah jasa saya di Kelantan selain pernah mengaji (belajar) di sini selama lima tahun.

“Hubungan saya dengan Kelantan sudah lama dan sangat akrab, diharap hubungan kedua-dua negeri dapat dipertingkatkan,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 4:05pm
d