mutakhir

Geng pecah masuk kondo diberkas

Oleh Hasbi Sidek

DUA lelaki yang dipercayai aktif melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan kondominium mewah dekat Empire City, Damansara, Petaling Jaya, diberkas polis, kelmarin.

Kedua-dua lelaki yang berusia 42 dan 48 tahun itu ditahan di parkir dekat Off Jalan PJU 8/8, Damansara Perdana, kira-kira 9 malam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, lelaki berkenaan didapati terbabit dalam empat kes pecah rumah di Empire City sejak awal tahun ini.

“Pihak Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya mengenal pasti sekumpulan tiga lelaki yang sering melakukan kegiatan pecah rumah di kawasan Empire City.

“Bertindak atas maklumat risikan kejadian pecah rumah, pasukan dari Bahagian Risikan Jenayah (D4) dan Pasukan Lejang IPD Petaling Jaya membuat tangkapan terhadap dua lelaki di lobi parkir sebuah kondominium di Empire City, 9 malam, kelmarin,” katanya ketika sidang media di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya, hari ini.

Mohd Zani berkata, suspek pertama berusia 42 tahun dan mempunyai 22 rekod jenayah, manakala suspek kedua berusia 48 tahun serta mempunyai empat rekod jenayah.

“Kami merampas satu beg galas, lapan jam tangan, dua telefon bimbit, satu kanta kamera, satu beg sandang, satu lesen memandu dipercayai milik mangsa dan pelbagai alatan pecah rumah dengan nilai dianggarkan RM10,000.

“Kedua-dua suspek juga didapati positif dadah jenis Methaphetamine.

“Kami masih mengesan seorang lagi lelaki bagi membantu siasatan yang dikenali sebagai Ng Mun Kiet berusia 42 tahun,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 4:48pm
d