mutakhir

Percubaan 5G di Cyberjaya, Putrajaya

Oleh Irwan Shafrizan Ismail

CYBERJAYA dan Putrajaya akan menjadi dua lokasi bandar pintar pertama di negara ini bagi percubaan teknologi generasi kelima (5G) bermula April ini.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, percubaan ujian teknologi 5G itu akan dilaksanakan selama enam bulan.

“Ini penting, seluruh dunia akan melihat kepada Malaysia, bagaimana kita boleh wujudkan dua tempat di mana ianya diusahakan oleh teknologi 5G.

“Saya berharap kita dapat melihat hasilnya dan kita akan menentukan keputusan lanjut berhubung penggunaan teknologi 5G ini selepas itu. Maklumat lanjut berhubung pelaksanaan ujian ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Infra Cyberjaya 2019 di Cyberjaya, hari ini.

Ditanya berhubung kebimbangan Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan (CEP), Tun Daim Zainuddin yang berpandangan bahawa Malaysia perlu berhati-hati dengan teknologi 5G dipelopori China yang dikhuatiri menjadi instrumen aktiviti pengintipan siber, Gobind berkata, soal keselamatan tetap menjadi keutamaan negara.

“Kita tidak boleh ketepikan faktor bahawa teknologi dunia bergerak ke arah 5G, ini diiktiraf banyak negara kerana 5G menawarkan lebih perkhidmatan, jadi ia menjadi teknologi yang perlu kita terima namun pada masa sama tetap perlu berhati-hati.

“Kerana itu isu keselamatan menjadi keutamaan kita, dan kerana itu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam proses membuat kajian, namun laporannya belum lagi diserahkan kepada saya.

“Kerajaan akan melihat soal keselamatan inj secara serius dan sudah pastinya bila kita ada maklumat menerusi laporan yang disiapkan oleh agensi berkaitan, kita akan maklumkan keputusannya,” katanya.

Ditanya sama ada kerajaan akan bekerjasama dengan syarikat luar atau tempatan bagi penyediaan infrastruktur 5G, beliau berkata, kerajaan terbuka kepada mana-mana pihak yang boleh membantu negara dalam membina ekosistem serta melonjakkan industri.

“Dari segi rangkaian, kita mempunyai banyak penyedia perkhidmatan telekomunikasi tempatan yang mampu menyediakan infrastruktur yang diperlukan.

“Dari segi aplikasi dan teknologi, kita terbuka, sesiapa yang dapat menyediakan teknologi ini dan membantu kita dalam membina ekosistem, bantu industri, kita terbuka kepada itu,” katanya.

Sebelum ini, Jerman dilaporkan mempertimbang memperkenalkan peraturan lebih ketat bagi mengekang teknologi 5G Huawei, susulan kebimbangan beberapa kerajaan negara Barat mengenai kemungkinan China menggunakan gajet Huawei untuk tujuan pengintipan

Australia dan New Zealand turut dilapor mengharamkan Huawei di negara masing-masing, susulan gesaan Amerika Syarikat supaya komuniti

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 7:02pm
d