mutakhir

'Mohon MB Perak bantu kami...'

Oleh Muhammad Apendy Issahak

SERAMAI 200 ejen jualan tiket bas ekspres di Terminal Amanjaya, Ipoh bakal hilang punca pendapatan apabila mereka diarah menamatkan operasi di terminal terbabit bermula 7 Mac ini susulan pelaksanaan sistem penjualan tiket berpusat (CTS).

Rata-rata ejen yang sudah beroperasi selama kira-kira enam tahun di terminal berkenaan kini tiada hala tuju dan lebih malang, keluhan mereka tidak didengari kerajaan negeri.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ejen Jualan Tiket Bas Ekspres Silvertage Medan Gopeng, Mohd Tarmizi Mohd Yusoff, berkata desas-desus penamatan operasi kaunter ejen jualan tiket berkenaan sudah didengari pada tahun lalu, namun arahan hanya dikeluarkan 7 Februari lalu.

“Susulan itu, pada September tahun lalu kami cuba mencari jalan bagi membela nasib semua ejen ini dengan mengatur pertemuan bersama Menteri Besar (MB), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk cari penyelesaian menang-menang bagi semua pihak.

“Malangnya hingga kini, kami gagal bertemunya, malah surat dan memorandum mengenai perkara itu yang kami serahkan kepada wakilnya tidak berbalas atau mendapat sebarang maklum balas,” katanya dalam sidang media di Ipoh, hari ini.

Hadir sama. Timbalan Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Tambun, Jaafar Uthman serta beberapa wakil ejen jualan tiket bas ekspres.

Menurutnya, apa yang mengecewakan pihaknya adalah Terminal Amanjaya terletak dalam kawasan Tambun iaitu kawasan Ahmad Faizal sebagai Ahli Parlimennya.

“Antara penyelesaian kami ingin lakukan adalah memohon kebenaran kembali beroperasi di terminal bas Medan Gopeng yang kini dikenali sebagai Silvertage apabila pemilik bangunan berkenaan pada dasarnya sudah bersetuju.

“Kami harap campur tangan Menteri Besar dalam mewartakan Silvertage sebagai terminal bas ekspres dengan kelulusan mengambil dan menurunkan penumpang,” katanya.

Sementara itu, Jaafar berkata, timbalan ketua bahagian yang diketuai Ahmad Faizal, beliau terkesan dengan permasalahan rakyat berkenaan apabila tidak dapat bertemu dengan ketuanya untuk membincangkan secara serius isu terbabit.

“Saya hingga kini tidak dapat bertemu dengan Ahmad Faizal untuk mencari penyelesaian berhubung isu ini apabila 200 ejen akan kehilangan punca pendapatan.

“Ini menyebabkan saya mengambil langkah drastik menularkan rakaman video perbualan telefon saya dengan pegawai Menteri Besar apabila saya meminta sampaikan ‘salam’ kepada ketua saya itu,” katanya.

Beliau mengakui penularan video memaki hamun Menteri Besar dibuatnya adalah bagi menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung isu berkenaan.

Sejak semalam, tular video berdurasi 2 minit 56 saat perbualan telefon antara Jaafar dengan seseorang apabila Timbalan Ketua Bahagian Tambun itu mendakwa tidak dapat bertemu Ahmad Faizal dari September hingga kini.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 7:27pm
d