mutakhir

Tokan dadah kantoi

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

POLIS Negeri Sembilan menahan dua lelaki disyaki pengedar dadah dan merampas ketulan mampat ganja dianggarkan bernilai RM9,000 dalam serbuan 25 Februari lalu.

Kedua-duanya ditahan selepas polis mendapati mereka dalam keadaan mencurigakan di dalam Toyota Vios di tepi jalan Taman Tong Seng, Mantin, Nilai jam 6 petang.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri Superintendan Pang Jin Lai berkata, ketika serbuan suspek cuba melarikan diri namun berjaya diberkas.

“Pemeriksaan menemui dua ketulan mampat dadah jenis ganja 2,100 gram yang diletakkan dalam sebuah beg. “Kedua-dua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai untuk siasatan lanjut dan ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah.

“Dalam serbuan itu, polis turut menyita motosikal Yamaha 135 LC dan barangan kemas dengan nilai sitaan RM11,053,” katanya hari ini.

Pang berkata, suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Selain itu katanya, JSJN turut melaksanakan Op Sarang di tiga daerah iaitu Jempol, Kuala Pilah dan Seremban dari 24 hingga 28 Februari lalu.

“Dalam operasi itu, 47 individu termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam pengedaran dan penyalahgunaan dadah.

“Polis turut merampas dadah jenis heroin 148.26 gram dan syabu 8.15 gram dengan nilai rampasan RM6,414,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 8:01pm
d