mutakhir

Sultan Brunei tiba untuk lawatan dua hari

Oleh BERNAMA

SULTAN Brunei Darussalam, Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang untuk lawatan dua hari bermula hari ini.

Baginda yang diiringi menteri serta pegawai kerajaan dengan delegasi 19 orang mendarat jam 6.05 petang seterusnya disambut Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Menteri Luar Datuk Saifuddin Abdullah.

Sejurus selepas pesawat khas baginda mendarat, baginda yang mengendalikan sendiri pesawat itu memeriksa perbarisan kehormat yang dianggotai dua pegawai dan 24 anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja.

Baginda dijadual melakukan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad esok iaitu pertemuan sulung baginda dengan Dr Mahathir di bawah rangka kerja Perundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei di Putrajaya.

Baginda seterusnya dijadual menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Malaysia dan Brunei mengenai pergerakan tahanan sebelum menghadiri majlis makan tengah hari yang dihoskan Dr Mahathir dan isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali bagi meraikan baginda di Seri Perdana.

Pada petang, baginda dijadual berangkat menghadiri program bersama pelajar Brunei di Kuala Lumpur.

Baginda dijadual berangkat pulang Rabu ini.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 8:14pm
d