mutakhir

Mesin pengisar pun dikebas

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

POLIS menahan dua lelaki termasuk warga Pakistan di rumah pangsa di Kulai malam tadi selepas mereka dipercayai mencuri mesin pengisar (grinder).

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, suspek yang kedua-duanya berusia 36 tahun ditahan di Flat Cengal, Taman Putri di sini.

“Bertindak atas maklumat orang ramai dan intipan, sepasukan anggota dari Balai Polis Kulai membuat serbuan dan tangkapan ke atas kedua-dua suspek jam 12.10 tengah malam tadi.

“Siasatan awal suspek mengaku mencuri dua mesin pengisar di Taman Lagenda Putra di sini,” katanya.

Menurutnya, pihaknya turut merampas satu beg, dua mesin pengisar dan seunit telefon bimbit.

Katanya, kedua-dua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai untuk siasatan lanjut.

“Suspek warga tempatan mempunyai dua rekod lampau mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 15(1)(a) akta sama,” katanya.

Menurutnya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan termasuk mengenal pasti motif kecurian.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 8:24pm
d