mutakhir

Kantoi seludup wanita

Oleh BERNAMA

EMPAT rakyat Malaysia, seorang lelaki dan tiga wanita berusia 29 dan 42 tahun ditahan pada Sabtu lalu di Singapura atas kesalahan cuba menyeludup seorang wanita Myanmar keluar dari republik itu secara haram.

Wanita warga Myanmar itu pula didakwa atas kesalahan masuk dan keluar secara haram dari republik terbabit.

Menurut Pihak Berkuasa Imigresen & Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura hari ini, pada 28 Februari kira-kira jam 7.45 petang, pegawainya menghentikan sebuah kereta yang didaftarkan di Malaysia untuk pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Woodlands.

Kereta itu dipandu oleh seorang wanita Malaysia berusia 42 tahun yang membawa seorang lagi penumpang wanita senegara.

Ketika melakukan pemeriksaan, pegawai terbabit menemui seorang lagi wanita yang tidak mempunyai dokumen perjalanan atau pengenalan diri bersembunyi dalam bonet kereta itu.

Ketika sedang menjalankan siasatan, ICA berkata, pegawainya ternampak sebuah lagi kereta yang didaftarkan di Malaysia di kawasan pasca imigrasi dengan enginnya masih hidup.

Mengesyaki bahawa kereta yang terbiar itu ada kaitan dengan kenderaan pertama, pegawai ICA dengan pantas menutup pintu pemeriksaan pada jam 8.03 malam.

Sejurus kemudian seorang lelaki dan seorang wanita yang menaiki kereta kedua itu dicekup dan pintu pemeriksaan dibuka semula pada jam 8.10 malam.

ICA berkata, siasatan awal mendedahkan bahawa pemandu serta penumpang kedua-dua kereta berkenaan bersubahat dalam cubaan menyeludup keluar wanita terbabit yang disahkan sebagai warga Myanmar.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 9:09pm
d