mutakhir

'Doa 'adik' segera sembuh'

Oleh Mary Victoria Dass

“KAMI tak putus berdoa supaya adik sembuh walaupun anak dikatakan tiada peluang untuk hidup lama dan hanya menunggu masa dijemput Allah SWT,” kata suri rumah, Aishah Abu Hassann 53.

Aishah berkata, tidak sangka anak bongsunya, Mohd Asraf Johan, 19, atau dipanggil adik dalam keluarganya, kini terlantar dan koma akibat terbabit kemalangan 22 Januari lalu di Taman Puteri, Kulai.

Menurutnya, Mohd Asraf seorang periang dan ketika kejadian, dia menaiki motosikal seorang diri sebelum dirempuh kereta yang keluar dari simpang.

“Akibat pertembungan itu anak terpelanting lebih dua meter sebelum kepalanya terhantuk di batu hingga topi keledarnya pecah serta kepalanya parah.

“Dia dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) sebelum doktor mendapati tempurung kepala sebelah kiri pecah dan pembedahan terpaksa dilakukan untuk mengeluarkan tempurung itu.

“Sejak terbabit dalam kemalangan dia hanya terlantar dan dalam keadaan koma manakala doktor menyatakan peluangnya untuk hidup agak tipis,” katanya.

Aishah berkata, dia tidak menjangka perbualan Mohd Asraf yang pelik sebenarnya petanda dia ditimpa kejadian malang.

Menurutnya, Mohd Asraf menyatakan tidak mahu bekerja sebaliknya mahu berehat.

“Dia beritahu jangan memaksanya bekerja kerana dia mahu berehat namun saya tidak sangka dia berehat dalam keadaan sebegini.

“Ketika terbabit dalam kemalangan, dia memang sudah berhenti kerja kira-kira sebulan sebelum itu dan saya menasihatnya bekerja dan menguruskan perbelanjaannya.

“Saya minta dia bekerja kerana saya hanya mampu memberi wang RM10 bagi perbelanjaan hariannya dan jika bekerja dia mampu memperolehi wang sendiri,” katanya.

Aishah berkata, dia mengusahakan gerai menjual sarapan di hadapan rumahnya di Jalan Kekwa 6, Taman Bukit, Kulai manakala suaminya, Johan Hassan, 56, bekerja sebagai pemandu bas dengan pendapatan bulanan RM2,000.

“Dia yang mendapatkan rawatan di HSA kemudian dirujuk ke Hospital Temenggong Sri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai dan esok genap seminggu dia pulang ke rumah.

“Selain bergantung kepada susu khas disyorkan doktor, Mohd Asraf memerlukan lampin pakai buang serta peralatan perubatan lain,” katanya.

Aishah berkata, buat masa ini keluarganya menguruskan perbelanjaan sendiri tanpa bantuan mana-mana pihak.

Menurutnya, dia bersyukur kerana Mohd Asraf menerima kunjungan daripada sukarelawan Persatuan Amal Permata Takzim (Papeta) yang menghulurkan sumbangan barangan untuk kegunaannya.

“Walaupun sibuk menguruskannya saya masih meneruskan jualan di gerai di hadapan rumah.

“Saya menjaganya termasuk memberikan susu menerusi tiub empat jam sekali selain menyedut kahak menggunakan mesin dipinjamkan hospital,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian menerusi akaun Bank Rakyat Johan 220971345156.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 9:42pm
d