mutakhir

'Mowgli Malaysia' turun padang jumpa peminat

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

“SAYA sangat terharu dengan sambutan luar jangkaan diterima sepanjang pameran itu,” kata Mohd Syukur Khamis, 14, ketika dihubungi Harian Metro di Kuala Terengganu, semalam.

Remaja dikenali sebagai ‘Mowgli Malaysia’ itu bersama jurugambar, Abdullah Dean Mohd Zain, 44, pertama kali menganjurkan Pameran Syukur Khamis ‘The Kampung Boy ‘ bersama sempena Pesta Angin Timur Perlis 2019 pada 1 hingga 3 Mac lalu di Kangar, Perlis.

Mohd Syukur berkata, dia didatangi lebih 1,000 pengunjung pada setiap hari di tapak pamerannya untuk melihat koleksi gambarnya yang dirakam Abdullah Dean bersama pelbagai jenis ternakan termasuk kerbau, kambing dan lembu.

“Bermula 8 pagi hingga 11 malam saya berada di tapak pameran itu dan ramai pengunjung datang untuk bergambar selain mendengar penerangan mengenai gambar daripada saya sendiri.

“Saya pertama kali ke Perlis dan tidak pernah terfikir disambut dalam suasana meriah.

“Sangat luar biasa apabila pengunjung datang semata-mata untuk melihat koleksi gambar dan berjumpa dengan saya,” katanya.

Menurutnya, sebelum ini orang ramai biasanya bertandang ke kandang kerbau di Kampung Kubang Bujuk atau rumahnya di Kampung Banggol Katong, Kuala Terengganu, tetapi kali ini berlainan apabila dia datang ke Perlis berjumpa dengan peminatnya.

“Memang berasa seronok dan terharu apabila ramai orang utara datang untuk bergambar dengan saya, rasa letih seharian berada di tapak pameran hilang apabila mendapat penghargaan seperti itu.

“Mengikut perancangan pameran sama akan dianjurkan pula di Chenor, Pahang sempena Pesta Chenor pada April depan. Saya harap sekali lagi berpeluang memeriahkan pameran berkenaan di samping berpeluang berjumpa dengan peminat di negeri itu pula,” katanya.

Sementara itu, Abdullah Dean atau lebih dikenali dengan panggilan Dallah Deen berkata, dia sudah dua kali menjayakan pameran berkisarkan gambar Syukur yang diambilnya itu, termasuk di Kuala Lumpur pada Februari lalu.

“Bagaimanapun pameran di Perlis paling mendapat sambutan kerana kehadiran Syukur. Pada pameran itu saya mempamerkan sebanyak 40 gambar termasuk 30 gambar Syukur bersama ternakannya.

“Paling mendapat perhatian dan pujian ramai ialah gambar Syukur dikejar lembu dipanggil Ahad,” katanya.

Menurutnya, sebanyak 15 gambar terjual selama tiga hari itu pameran itu dijalankan dan harga setiap gambar ialah antara RM400 hingga RM1,000 sekeping.

“Seronok apabila gambar yang dihasilkan melalui kamera sendiri dihargai sehingga terjual dan ia membuktikan masyarakat kian menerima seni melalui sekeping gambar,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 1:03am
d