mutakhir

Ramuan tahan lebih lama

Oleh Shahrinnahar Latib

BUKAN mudah bersaing dalam perniagaan sekian lama dikuasai kaum lain namun bagi Norhayati Idris, 52, tiada yang mustahil asalkan tidak mengalah seperti kata pepatah di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.

Berpegang kepada prinsip itu, ibu kepada enam anak kini mampu tersenyum apabila usaha menjalankan perusahaan mi kuning membuahkan hasil dan berkembang maju.

Norhayati berkata, pembabitan awal dalam perniagaan itu bermula pada 2016 hanya sekadar mahu mencari pendapatan sampingan untuk menambah pendapatan keluarga.

“Mula-mula saya buat pada hari minggu saja namun permintaan pelanggan memberangsangkan kerana mereka mahu mi kuning yang tidak mempunyai bahan pengawet dan halal.

“Bermula dari situlah saya terfikir membuka bengkel sendiri bagi membolehkan lebih banyak produk mi kuning dihasilkan,” katanya ketika ditemui di bengkelnya di Kompleks Pertanian Inderapura di sini, semalam.

Katanya, dia kini dibantu suami, Shaharul Badri Abu Kasin, 53, yang sanggup berhenti kerja sebagai pensyarah untuk bersama memajukan perniagaan mereka.

“Sebelum ini, saya bekerja sebagai ejen takaful namun selepas perniagaan mi kuning ini semakin maju saya melakukannya secara sambilan saja,” katanya.

Dalam pada itu, Norhayati berkata, untuk menghasilkan mi kuning berkualiti dan tahan lama tanpa banyak bahan kimia tidak semudah disangka kerana banyak faktor perlu diambil kira bagi memastikan produk dihasilkan memuaskan hati pelanggan.

“Antara cabaran utama perlu dihadapi termasuk persaingan dengan jenama lebih lama di pasaran. Namun, niat saya hanya satu iaitu sebagai fardu kifayah bagi memastikan pengguna Islam mudah mendapatkan produk makanan bersih dan halal.

“Mi kuning antara makanan sering dimasak, jadi memang akan ada campuran bahan kimia untuk ketahanan namun saya tidak menggunakannya,” katanya.

Katanya, maklum balas diterima daripada pelanggan memuaskan dan kebanyakannya mengatakan mi kuningnya tidak pahit seperti produk jenama lain.

Norhayati berkata, hingga kini mi kuningnya dipasarkan di kedai runcit di daerah ini dan Pasaraya Darul Makmur yang dimiliki Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

“Memang permintaan terhadap mi kuning melebihi penawaran namun saya berdepan masalah kekurangan modal untuk membesarkan bengkel bagi menampung permintaan semakin meningkat.

“Besar harapan saya melihat mi kuning keluaran syarikat Bumiputera bersaing dengan yang lain dan apa lebih penting sihat tanpa bahan pengawet,” katanya.

Selain mi kuning, Norhayati menghasilkan produk lain seperti roti canai, roti bom, mi siput dan mi telur, malah perniagaan wanita itu mendapat persijilan halal dan skim pensijilan Makanan Selamat Tanggungjawab Industri (MeSTI).

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 7:00am
d