mutakhir

Lelaki rentung kereta terbakar

Oleh Hafidzul Hilmi Mihd Noor

LELAKI ditemui rentung selepas kenderaan dipandu dipercayai terbabit dalam kemalangan berhampiran Majlis Sukan Negara di Jalan Barat menghala ke Taman Teknologi Park, Kuala Lumpur, awal pagi ini.

Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada mangsa yang kemudian diserahkan kepada forensik polis untuk tindakan selanjutnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Nordin Pauzi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 2.26 pagi berhubung kebakaran kereta Honda City.

Menurutnya, tujuh anggota menaiki sebuah jentera dan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Kenderaan Honda City itu terbakar 40 peratus di bahagian depan. Terdapat seorang mangsa lelaki yang rentung hampir 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nordin berkata, bomba berjaya mengawal kebakaran dan api padam sepenuhnya jam 2.42 pagi.

Katanya, pihaknya percaya kereta itu dipercayai terbabit dalam kemalangan sebelum terbakar.

“Bagaimanapun siasatan lanjut berhubung kejadian dan punca sebenar masih dalam siasatan.

“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 8:23am
d