mutakhir

Kenapa masih biadap hina Nabi Muhammad...

Oleh Nur Saliawati Salberi

KIRA-KIRA 500 individu berhimpun di hadapan Balai Polis Batang Tiga, Klebang, Melaka, malam tadi, bagi mendesak pihak berkuasa mengambil tindakan tegas ke atas seorang pemuda yang menghina Nabi Muhammad SAW.

Perhimpunan selama kira-kira dua jam bermula 8.30 malam itu membabitkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) termasuk UMNO dan PAS negeri, membuat laporan polis ke atas individu berkenaan yang menggunakan akaun Twitter ‘Alvin Chow’ yang memuat naik kata-kata penghinaan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka Datuk Seri Mohamad Ali Mohammad berkata, belum reda dengan kemarahan umat Islam terhadap beberapa individu sebelum ini yang bersikap biadap menghina Nabi Muhammad SAW kini muncul seorang lagi seakan mencabar kesabaran orang Islam.

Beliau berkata, 13 laporan polis dibuat terhadap kebiadapan individu itu selain turut meminta pihak berkuasa dapat menangani hal ini dengan segera.

“Apabila berlaku perkara seperti ini, sudah pasti suasana negara kita tidak tenteram dan mencetuskan kemarahan masyarakat Islam.

“Diharap pihak berkuasa dapat mengambil tindakan segera dan sekeras-kerasnya ke atas individu berkenaan,” katanya ditemui selepas membuat laporan polis.

Beliau berkata, walaupun sudah banyak laporan polis dibuat sebelum ini, semalam muncul lagi seorang individu yang bertindak menghina Rasulullah dan ketegasan pihak berkuasa dalam menangani situasi ini amat perlu.

Media sebelum ini melaporkan, seorang lelaki warga emas dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas dua pertuduhan menghina Nabi Muhammad SAW dan isteri dengan memuat naik karikatur berunsur penghinaan di laman sosial Facebook miliknya.

Perbuatan itu mencetuskan kemarahan masyarakat Islam di negara ini dan susulan itu pelbagai pelbagai bantahan dan perhimpunan diadakan.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 9:27am
d