mutakhir

Tak sempat seberang sempadan

Oleh Noorazura Abdul Rahman

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) menahan lima pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Myanmar yang cuba menyeberang sempadan negara berdekatan ladang getah Bukit Tangga, dekat Bukit Kayu Hitam semalam.

Panglima 6 Briged, Brigedier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail, berkata warga asing berusia antara 19 hingga 23 tahun itu ditahan pasukan Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) ketika melakukan rondaan pada jam 11.30 pagi di kawasan berkenaan.

Katanya, rondaan di Pos 1 diketuai Koperal Mohamad Darus Abu Noh ternampak dua lelaki bersama seorang wanita sedang berjalan di kawasan ladang getah menuju ke jalan utama Bukit Tangga.

“Menyedari kehadiran kumpulan ronda, mereka cuba melarikan diri dan bersembunyi di dalam semak, namun berjaya ditangkap.

“Selang setengah jam kemudian, kumpulan ronda menangkap seorang lelaki yang berjalan di kawasan ladang getah berhampiran Pos 3.

“Kesemua yang ditahan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Abdul Aziz berkata pada jam 4.30 petang, seorang lagi lelaki dipercayai etnik Rohingnya datang menyerah diri kepada anggota ronda berhampiran Pos 5.

Katanya, lelaki terbabit dalam keadaan keletihan dan meminta air minuman sebelum ditahan kerana gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

“Beg, pakaian, barangan peribadi, wang tunai serta telefon bimbit yang dibawa kesemua PATI terbabit turut dirampas.

“Barang rampasan serta PATI terbabit kemudian di bawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 10:32am
d