mutakhir

MAIK sasar kutipan zakat RM195 juta

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

MAJLIS Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) mensasarkan kutipan zakat sebanyak RM195 juta, tahun ini.

Timbalan Yang Dipertuanya, Dr Nik Mohd Azlan Abd Hadi berkata, tahun lalu, sebanyak RM182 juta berjaya dikutip melebihi sasaran ditetapkan iaitu RM180 juta.

Katanya, sehingga semalam kutipan zakat yang diperoleh lebih RM13 juta berbanding tempoh sama tahun lalu lebih RM23 juta.

“Ia menunjukkan penurunan lebih RM10 juta atau 44.46 peratus. Pihak kami akan terus melakukan promosi supaya masyarakat di Kelantan terus berzakat.

“Bagaimanapun, kutipan zakat sentiasa meningkat antara tiga hingga lima peratus setiap tahun dan saya berterima kasih kepada pembayar zakat yang menunaikan kewajipan mereka,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Cek Zakat Perniagaan oleh Agrobank, di pejabat MAIK, Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, Nik Mohd Azlan menerima cek zakat perniagaan berjumlah RM35,000 daripada Ketua Unit Perkhidmatan dan Jualan Agrobank Wilayah Kelantan Terengganu, Suhaili Mohd Razali.

Nik Mohd Azlan berkata, sehingga kini terdapat 52,000 penerima zakat di seluruh negeri dengan 40 hingga 50 peratus kutipan zakat disalurkan kepada asnaf yang memerlukan.

“Melalui kutipan zakat yang diperoleh, ia diperuntukkan untuk membina 150 rumah zakat setiap tahun.

“Tanggungjawab MAIK agak besar kerana kami adalah pemegang amanah dan keutamaan yang sentiasa diterapkan adalah ketelusan aktiviti yang dilaksanakan supaya mendapat keyakinan daripada masyarakat,” katanya.

Sementara itu, Suhaili berkata, sumbangan zakat itu adalah bagi membantu meringankan beban golongan asnaf, secara tidak langsung dapat mengurangkan kekangan kewangan yang dihadapi mereka.

“Sebagai sebuah syarikat korporat yang bertanggungjawab dan menyedari mengenai peningkatan kos sara hidup, pihak kami berharap usaha murni ini dapat membantu golongan asnaf menjalankan aktiviti harian dengan lebih baik.

“Zakat mempunyai nilai kemanusiaan yang mendalam dan melalui zakat ia dapat mewujudkan perpaduan selain mengukuhkan hubungan dalam kalangan masyarakat dengan mengagihkan kekayaan kepada golongan miskin memerlukan,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 12:41pm
d