mutakhir

Buaya sesat dalam tali air [METROTV]

Oleh Asrol Awang

PENDUDUK Kampung Jawa, Kuantan, gempar apabila kelibat seekor buaya tembaga sepanjang kira-kira satu meter kelihatan di tali air di kampung berkenaan malam tadi.

Kemunculan reptilia kira-kira 8.30 malam itu mengejutkan penduduk kerana difahamkan ia adalah kejadian pertama buaya dilihat di dalam tali air itu.

Malah, orang ramai mula membanjiri tebing tali air berkenaan untuk melihat reptilia itu dengan lebih dekat selepas kemunculannya ditularkan di laman sosial

Selain itu, ada juga di antara mereka bertindak berani dengan cuba menangkap buaya terbabit, namun gagal walaupun menggunakan pelbagai peralatan termasuk tali.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Pahang, Ahmad Azhar Mohamed berkata, buaya itu berkemungkinan ‘tersesat’ ke dalam tali air berkenaan berikutan fenomena air pasang yang berlaku baru-baru ini.

Katanya, tali air itu terletak berhampiran Sungai Kuantan, justeru tidak mustahil reptilia terbabit memasuki tali air itu sehingga berada berdekatan kawasan perumahan penduduk.

“Sebaik mendapat maklumat, pasukan PERHILITAN melakukan pemeriksaan tetapi gagal mengesan buaya terbabit dan dipercayai sudah kembali ke habitatnya.

“Saya dimaklumkan ada penduduk cuba menangkap buaya tetapi tindakan itu amat merbahaya kerana tidak mempunyai peralatan khas serta tidak terlatih untuk mengendalikan situasi seperti ini.

“Perbuatan itu mungkin secara tidak sengaja menyakiti atau menyebabkan haiwan menjadi agresif,” katanya.

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang melihat kelibat buaya berkenaan supaya menghubungi PERHILITAN untuk tindakan lanjut dan jangan bertindak sendiri.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 1:59pm
d