mutakhir

Bot penceroboh jadi tukun

Oleh Siti Rohana Idris

EMPAT bot nelayan asing yang dirampas sejak 2014 hingga tahun lalu, ditenggelamkan empat batu nautika dari perairan Tumpat, hari ini.

Semua bot yang dianggarkan bernilai RM4 juta termasuk peralatan itu dilupuskan untuk dijadikan tukun tiruan bagi menggalakkan biodiversiti marin.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri Pahang, Laksamana Muda Maritim Datuk Zulkarnain Mohd Omar, berkata pelupusan itu akan memberi manfaat kepada seluruh hidupan laut dengan kadar pembiakan yang lebih baik.

“Sehingga kini sebanyak 331 bot nelayan asing dan tempatan sudah dijadikan tukun tiruan di Malaysia manakala 320 di Pantai Timur.

“Pelaksanaan pelupusan dengan menenggelamkan tukun tiruan ini juga adalah usaha murni Maritm Malaysia bagi menambahkan lagi pendapatan nelayan.

“Wujudnya tukun tiruan ini akan menjadi habitat hidupan laut membiak sekaligus menambahkan sumber ikan kepada nelayan tempatan,” katanya ketika sidang media di Kompleks Lembaga Kemajuan Ikan (LKIM) Geting, Tumpat, hari ini.

Zulkarnain berkata, empat bot itu dirampas atas kesalahan menceroboh perairan negara dan menyalahi undang-undang di bawah Akta Perikanan.

Beliau berkata, sejak 2006 sehingga kini sebanyak 1,198 bot nelayan asing dirampas dengan 10,039 kru ditahan dan majoritinya adalah wargan Indonesia serta Vietnam.

Menurutnya, modus operandi yang digunakan adalah nelayan asing akan berada lebih seminggu di tengah laut dengan kedudukan bot kira-kira 40 hingga 60 batu nautika dari pantai, bagi mengelak dari pihak berkuasa.

“Hasil laut yang ditangkap itu akan dikumpulkan di dalam sebuah bot induk yang berada lebih kurang 100 batu nautika dari kelompok bot nelayan asing terbabit.

“Dalam tempoh seminggu itu hasil laut akan dikumpulkan sebelum dibawa pulang ke negara asal,” katanya.

Zulkarnain berkata, pihaknya akan terus mempertingkatkan lagi pemantauan dan rondaan bagi membanteras aktiviti yang menyalahi undang-undang laut.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 3:01pm
d