mutakhir

OKU dalam perkhidmatan awam masih kurang

Oleh Mary Victoria Dass

HANYA dua daripada keseluruhan kementerian di negara ini memenuhi dasar dengan menyediakan satu peratus peluang pekerjaan dalam perkhidmatan awam kepada orang kurang upaya (OKU).

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata, dasar itu menetapkan setiap agensi memastikan pengambilan sekurang-kurangnya satu peratus golongan itu daripada bilangan kakitangan dalam agensi berkenaan.

Bagaimanapun, beliau berkata, sehingga kini dasar berkenaan hanya dipenuhi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat serta Kementerian Luar Bandar.

Menurutnya, pelbagai agensi perlu komited dalam memperkasakan golongan OKU dalam pekerjaan.

“OKU yang bekerja mampu menyara hidup sendiri dan berdikari tanpa bergantung kepada pihak lain,” katanya ketika sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Cahaya Kempas di Johor Bahru, hari ini.

Hadir sama, Pengerusi Pertubuhan Amal Isteri Wakil-Wakil Rakyat Kerajaan Johor (JASMINE) Datin Nora Mohd Som.

Sementara itu, Hannah berkata, pihaknya kini meneliti cadangan bagi pengambilan OKU bekerja di PDK.

Menurutnya, ia adalah antara usaha mewujudkan ruang dan peluang pekerjaan baru kepada golongan OKU.

“PDK kebiasaannya akan dikendalikan oleh penyelia dan kakitangan, kami mempertimbangkan sama ada pekerjaan berkenaan sesuai diisi oleh OKU,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 5:34pm
d