mutakhir

Nekad tinggalkan ibu

Oleh Zatul Iffah Zolkiply

REMAJA perempuan nekad keluar dari rumah bersama dua adiknya selepas tidak tahan dipukul ibu mereka dalam kejadian di Kampung Gong Pasir, Jertih, semalam.

Kejadian dipercayai berlaku 7.45 malam ketika mangsa berusia 15 tahun berada di rumah bersama suspek serta adik lelaki dan perempuan berusia tujuh tahun sebelum wanita terbabit dikatakan tiba-tiba mengamuk dan mahu memukul adik lelaki mangsa.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Mohd Zamri Mohd Rowi berkata, suspek berusia 44 tahun dikatakan bertindak sedemikian selepas dipercayai mengalami masalah kewangan.

“Mangsa yang melihat kejadian itu menghalang perbuatan suspek menyebabkan ibunya naik angin lalu menarik rambut mangsa sebelum remaja itu berjaya keluar dari rumah berkenaan bersama dua adiknya.

“Difahamkan, sebelum ini, mangsa yang tidak bersekolah dan bekerja sebagai jurujual itu pernah dipukul suspek selepas berlaku perselisihan faham pada 11 Februari lalu.

“Dalam kejadian itu, mangsa yang dipukul dengan kipas patah jari kelingking tangan kanan, namun tidak membuat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zamri berkata, bagaimanapun, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Kampung Raja, sebaik keluar dari rumah, semalam.

Susulan laporan dibuat mangsa, suspek ditahan di rumahnya 11.30 malam tadi.

Katanya, suspek yang tidak bekerja itu kini direman selama enam hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak -Kanak 2001.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 5:38pm
d