mutakhir

UMNO, PAS tidak terikat [METROTV]

Oleh Hairulazim Mahmud

UMNO dan PAS tidak akan bersatu bagi menghadapi siri pilihan raya kecil (PRK) selepas ini, kata Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata, kedua-dua parti itu sebaliknya hanya akan bekerjasama untuk berdepan Pakatan Harapan (PH) tanpa sebarang simbol tunggal.

“Tiada logo, masing-masing dengan polisi dan dasar parti sedia ada, kita bersama atas dasar penyatuan ummah semata-mata tanpa meminggirkan agama dan kaum lain.

“UMNO tidak akan mengkritik PAS dan begitulah sebaliknya kerana kami tidak terikat antara satu sama lain,” katanya kepada media selepas mesyuarat Jawatankuasa Induk UMNO-PAS di Menara Dato’ Onn Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur, hari ini.

Jawatankuasa itu dipengerusikan secara bersama oleh Mohamad dan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Turut hadir Naib-Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Yaakob dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Setiausaha Agung Tan Sri Annuar Musa, Ketua Wanita Datuk Dr Noraini Ahmad dan Ketua Pemuda Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

PAS diwakili Tuan Ibrahim, Naib Presiden Idris Ahmad, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, Ketua Dewan Ulama Datuk Dr Mahfodz Mohamad, Ketua Dewan Muslimat Senator Nuridah Salleh dan Ketua Dewan Pemuda Muhammad Khalid Abdul Hadi.

Berkaitan penerimaan MCA dan MIC pula, Mohamad berkata, UMNO akan memberikan penerangan kepada parti komponen Barisan Nasional berkenaan (BN) Jumaat ini.

“Tiada sebab untuk mereka tidak menerima perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi menggambarkan hubungan kedua-dua parti, Mohamad berkata, UMNO dan PAS kini sudah melangsungkan ‘perkahwinan’ selepas ‘bertunang’ dan ‘merisik’.

“Sekarang dah bersandinglah, mula-mula hantar cincin di Sungai Kandis, kemudian bertunang di Seri Setia,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah memberikan mandat kepadanya dan beberapa Janakuasa PAS Pusat untuk berbincang dengan pucuk pimpinan UMNO hari ini.

Katanya, perbincangan berkenaan adalah untuk mereka mencari titik persamaan demi penyatuan ummah.

“Selepas ini kami akan bermesyuarat di Ibu Pejabat PAS pula,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 7:35pm
d