mutakhir

Pemancing dikhuatiri lemas

Oleh Rafiqah Dahali

LELAKI dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke dalam sungai ketika memancing di tebing Sungai Padas dekat Beaufort, malam tadi.

Dalam kejadian 9 malam itu, mangsa, Romy Parelera, 30-an, dikatakan memancing bersama beberapa rakan sejak lewat petang sebelum dipercayai terjatuh ke dalam sungai.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan 9.08 malam sebelum menghantar sepasukan anggota bersama jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba pasukan bomba menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan kaedah penyelamatan di permukaan di sekitar lokasi kejadian.

Bagaimanapun, katanya, operasi terpaksa ditangguhkan 11.59 malam berikutan keadaan gelap.

“Operasi pencarian disambung semula pagi ini di sekitar kawasan mangsa dilaporkan hilang serta lokasi berhampiran,” katanya.

Operasi itu turut disertai sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Beaufort serta polis.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 8:28am
d