mutakhir

Bengkel, kedai tayar terbakar

Oleh Junaidi Ladjana

BANGUNAN dua tingkat yang menempatkan kedai tayar dan bengkel kereta di Country Height, Jalan Bantayan, Penampang terbakar, awal pagi tadi.

Kejadian 2.30 pagi itu menyebabkan bangunan terbabit musnah 90 peratus, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan 2.33 pagi dan enam jentera dengan kekuatan 19 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba, bangunan dua tingkat menempatkan kedai tayar dan bengkel kereta terbakar. Pasukan bomba bertindak memadam api daripada merebak ke lot kedai bersebelahan.

“Kebakaran dipadamkan sepenuhnya pada 4.21 pagi,” katanya, hari ini.

Menurutnya, kebakaran tidak membabitkan kecederaan atau kematian.

“Punca kejadian dan anggaran kerugian masih dalam siasatan serta tiada mangsa dilaporkan cedera,” katanya.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu BBP Kota Kinabalu dan Penampang.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 9:04am
d