mutakhir

Wanita, 2 anak diselamatkan AADK

Oleh Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor

IBU muda berusia 20 tahun bersama dua anaknya diselamatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Negeri Sembilan daripada seorang pengedar dadah di Ampangan, Negeri Sembilan, semalam.

Pengarah AADK negeri Nazira Sadiron berkata, kedua-dua anaknya berusia tiga tahun dan setahun.

Katanya, AADK yang menerima maklumat menjalankan Op Aduan Awam jam 9 pagi menemui wanita itu bersama dua anaknya di dalam rumah, manakala teman lelaki yang disyaki pengedar dadah berusia 20-an tiada di rumah.

Bagaimanapun, beliau berkata, wanita itu dipercayai membuang dadah ke dalam tandas sebaik menyedari kehadiran anggota.

“Ujian air kencing mendapati dia positif syabu dan memberitahu sudah bercerai bersama bekas suami, sebelum menetap bersama teman lelaki.

“Siasatan mendapati wanita itu dalam proses perceraian dan mengikut tokan berkenaan sejak dua bulan lalu,” katanya.

Nazira berkata, wanita dan anaknya dibawa ke pejabat AADK negeri sebelum suami bersama ibu saudaranya hadir.

“Keadaan di pejabat kami menjadi tegang apabila ibu saudaranya mengamuk memandangkan sebelum ini wanita itu pernah diberi amaran supaya tidak terbabit dengan penyalahgunaan dadah dan mengikuti teman lelaki,” katanya.

Menurutnya, wanita itu dibawa ke pusat jagaan di Port Dickson bagi menjalani program pemulihan, manakala dua anaknya diserahkan kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk jagaan sementara.

“Dalam kebanyakan kes seperti ini, wanita tersalah memilih teman sehingga mengakibatkan hubungan keluarga retak.

“Melalui kes ini, pegawai AADK akan memberikan rawatan terbaik untuk memulihkan wanita itu,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 8 (1) Akta Penagih Dadah 1983 manakala teman lelakinya masih diburu.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 10:36am
d