mutakhir

Padah curi elektrik

Oleh Junaidi Ladjana

DUA pusat urut antara 11 premis yang diserbu kerana disyaki mencuri bekalan elektrik dengan melakukan pengusikan pada meter elektrik dalam operasi bersepadu di Kota Kinabalu dan Penampang.

Operasi yang bermula jam 10 pagi semalam dan berakhir hari ini dilakukan oleh sepasukan pegawai dan kakitangan Suruhanjaya Tenaga (ST) bersama Sabah Electricty Sdn Bhd (SESB).

Timbalan Pengarah Perancangan dan Penyelarasan Penguatkuasaan ST Ir Shafie Mohamed berkata, selepas dua hari operasi dijalankan, sebanyak 11 premis dikesan mencuri bekalan elektrik membabitkan premis produk sejuk beku, serbaneka dan pusat urut.

“Semalam lima premis diserbu manakala untuk hari ini sebanyak enam premis termasuk dua premis pusat urut yang disyaki melakukan pengusikan pada meter elektrik.

“Pemeriksaan lanjut mendapati mereka melakukan pengusikan pada meter dengan cara tebuk dan pintasan menggunakan dawai bagi mengelak bacaan elektrik direkod sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas serbuan berkenaan, hari ini.

Menurutnya, semua pepasangan meter elektrik yang diusik dirampas untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan oleh ST mengikut Seksyen 37(3) Akta Bekalan Elektrik 1990.

“ST mengingatkan adalah satu perkara bahaya jika melakukan pengusikan pada pepasangan meter kerana bukan sahaja menyebabkan kerugian tetapi boleh membawa maut akibat renjatan elektrik,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah Urusan SESB Ir Abdul Nasser Abdul Wahid berkata, mengikut rekod pihaknya, bagi tempoh 2017 hingga Februari 2019 dilaporkan sebanyak 990 premis di seluruh Sabah dikesan melakukan kegiatan mencuri elektrik.

“Melalui risikan pasukan Strike Force SESB, kita mengenal pasti premis yang melakukan pengusikan meter dan berdasarkan maklumat itu, kita akan salurkan kepada ST untuk kita membuat operasi bersepadu.

“Sepanjang 2017 hingga Februari 2019, sebanyak 4,563 premis diperiksa dan daripada jumlah itu, sebanyak 990 premis dikesan melakukan pengusikan meter elektrik dengan kerugian lebih 4 juta,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 3:23pm
d