mutakhir

Penjenayah berparang serbu rumah

Oleh Hasbi Sidek

DUA lelaki bersenjatakan parang bertindak berani memasuki sebuah rumah dekat Fasa 8, Taman Sri Gombak, Gombak, dan menyamun seorang wanita sebelum melarikan seutas gelang emas dianggarkan bernilai RM7,000, semalam.

Kejadian kira-kira 2 petang itu dirakam kamera keselamatan di sebuah rumah jiran sebelum ia mulai tular di laman sosial sejak semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Gombak, Superintendan Arsad Kamaruddin berkata, dua lelaki berkenaan menaiki motosikal Yamaha Y15 sebelum seorang daripada mereka masuk ke rumah mangsa.

“Seorang suspek merentap gelang pada tangan kanan mangsa sebelum mereka melarikan diri.

“Akibat kejadian itu mangsa mengalami kecederaan ringan dan kerugian dianggarkan RM7,000.

“Kami kini sedang memburu suspek dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395 dan 397 Kanun Keseksaan,” katanya ketika dihubungi wartawan Harian Metro, hari ini.

Rakaman video berdurasi 41 saat itu memaparkan dua suspek menunggang motosikal berwarna merah sebelum memberhentikan motosikal di belakang sebuah kereta Proton Satria di hadapan rumah mangsa.

Seorang suspek kemudian meluru ke arah mangsa yang berada di anjung tempat letak kereta kediaman terbabit sebelum diikuti seorang lagi suspek sambil membawa sebilah parang sebelum melarikan diri.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 3:51pm
d