mutakhir

Siasatan barang rampasan 1MDB perlu lengkap 16 Mei

Oleh Mohd Azam Shah Yaacob

SIASATAN terhadap barangan yang dirampas berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) perlu dilengkapkan sebelum atau pada 16 Mei ini, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun.

Beliau berkata, ini kerana pihaknya mempunyai masa sehingga 16 Mei bagi menyimpan barangan yang dirampas dalam beberapa serbuan dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman sejak 16 Mei tahun lalu termasuk di kediaman milik bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

“Menerusi siasatan terhadap skandal 1MDB, polis diberikan tempoh sehingga 16 Mei ini untuk menyimpan barangan yang dirampas, sebelum diserahkan semula kepada pemiliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM 2018 di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim.

Mei tahun lalu, pihak polis merampas barangan dari beberapa lokasi yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.

Pada Jun Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Datuk Seri Amar Singh Ishar Singh dipetik berkata, jumlah keseluruhan nilai barangan dirampas dari kediaman Najib adalah antara RM900 juta hingga RM1.1 bilion.

Dalam pada itu, Mohamad Fuzi berkata, pihaknya mempunyai masa sebelum hujung bulan ini bagi melengkapkan kertas siasatan skandal penyelewengan dana 1MDB sebelum diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

Katanya, sehingga kini, siasatan terhadap skandal 1MDB masih diteruskan dan semuanya berjalan dengan lancar.

“PDRM yakin dapat melengkapkan sepenuhnya kertas siasatan sebelum tamat tempoh diberikan Jabatan Peguam Negara iaitu sebelum hujung bulan ini,” katanya.

Mohamad Fuzi berkata, sebaik semua proses selesai, PDRM juga akan mencadangkan tindakan yang bersesuaian mengikut proses mahkamah kepada Jabatan Peguam Negara.

Mengulas mengenai usaha mengesan suspek utama skandal 1MDB iaitu Low Taek Jho atau Jho Low, beliau berkata, polis belum dapat memastikan lokasi sebenar ahli perniagaan dalam buruan itu.

“Maklumat menyatakan Jho Low berada di China hanya sekadar khabar angin kerana tidak dapat dipastikan sama ahli perniagaan berkenaan betul-betul berada di negara terbabit.

“Bagaimanapun, polis sudah meletakkan pegawai polis bagi memantau perkara itu termasuk menjalinkan kerjasama dengan pihak berkuasa China selain usaha mengesannya (Jho Low),” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 4:01pm
d