mutakhir

Dijumpai mati dalam kebun kelapa sawit

Oleh Mohd Hilmie Hussin

MAYAT seorang lelaki dengan kesan kecederaan di beberapa bahagian badan ditemui dalam kebun kelapa sawit di Kampung Paya Rumput, Sungai Udang, Melaka semalam.

Difahamkan, orang awam menemukan mayat dalam keadaan terbaring serta terdapat sebuah motosikal Honda EX5 berwarna putih tersadai tidak jauh dari situ.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, penemuan mayat lelaki tempatan itu dilaporkan kepada pihaknya pada 5.20 petang.

“Mayat dikenal pasti sebagai Mohd Fadzli Shariff, 38, beralamat di Ayer Paabas, Alor Gajah yang ditemukan berhampiran tangki air dalam kebun kelapa sawit berkenaan lengkap berbaju T lengan panjang serta seluar panjang.

“Turut dijumpai sepasang kasut getah kira-kira dua meter daripada mayat selain topi keledar berwarna putih empat meter dan motosikal Honda EX5 dengan nombor pendaftaran MCB7342 lima meter dari mayat,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, pihaknya tidak menjumpai sebarang objek yang boleh dikaitkan dengan kematian lelaki itu selain tidak terdapat kesan kecederaan pada fizikal luarannya.

Namun, katanya, siasatan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat satu kesan luka di bawah peha kiri selain luka baru pada betis kiri.

“Pemeriksaan menemukan dompet mengandungi kad pengenalan, kad bank dan wang tunai selain telefon bimbit,” katanya.

Afzanizar berkata, bedah siasat dijalankan di Jabatan Forensik Hospital Melaka dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut (SDR).

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 4:11pm
d