mutakhir

PAS sedia maafkan UMNO

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

PAS bersedia memaafkan segala kesalahan UMNO ketika ‘berseteru’ dahulu demi agama Islam dan kesatuan ummah.

Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin berkata, rakyat seharusnya mengambil iktibar atas apa yang berlaku terhadap Rasulullah SAW ketika baginda memimpin orang Islam demi kepentingan akidah dan syariat.

“Sedangkan Rasulullah SAW boleh memaafkan orang (Umar Al Khattab) yang dahulunya mahu membunuh baginda, kemudian mereka berjuang sekali memartabatkan Islam.

“Inikan pula kita sesama agama dan hanya berbeza ideologi politik, jadi kerjasama PAS-UMNO demi agama Islam dan hak orang Melayu dalam negara ini.

“Kita tahu dan tak lupa apa yang depa (UMNO) buat pada PAS dahulu, saya pun pernah ditukarkan ke tempat lain dalam masa 24 jam hanya kerana berbeza ideologi politik tetapi dalam keadaan sekarang apabila Islam di Malaysia terancam jadi kerjasama itu perlu,” katanya kepada wartawan Harian Metro.

Semalam, mesyuarat jawatankuasa induk UMNO dan PAS memutuskan kedua-dua parti tidak akan bersatu sebagai sebuah parti.

Sebaliknya, kedua-dua parti hanya bersetuju untuk bekerjasama sebagai pembangkang yang akan antara lain agendanya adalah menumpukan kerjasama bagi menghadapi pilihan raya kecil (PRK) yang akan datang.

Mengulas lanjut, Hashim berkata, kerjasama PAS bersama parti yang dianggap musuh bukanlah sesuatu yang baru malah ia pernah dilakukan dahulu.

“PAS pernah bekerjasama dengan DAP, kita adalah parti memegang janji dan berpegang teguh dengan syarat yang sudah ditetapkan.

“Tetapi depa (DAP) yang memungkirinya dan itulah sebab kita hentikan kerjasama dengan depa, jadi kita lebih memikirkan perpaduan berbanding perpecahan sesama umat Islam,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 4:32pm
d