mutakhir

'Membatu' 30 minit

Oleh Siti Rohana Idris

LIMA warga asing bertindak mendiamkan diri 30 minit dalam sebuah rumah walaupun pintu bertalu-talu diketuk pihak berkuasa.

Rumah itu juga dibiarkan bergelap seolah-olah tiada penghuni bagi mengaburi Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) Kelantan yang membuat serbuan dalam Ops Bersepadu (Sapu) hari ini.

Ketua Bahagian Penguat kuasa Imigresen Kelantan, Penolong Pengarah Imigresen Ruzaana Mohamed berkata, serbuan itu dilakukan di Felda Chiku, 3 jam 5.30 pagi tadi.

“Setengah jam pegawai kami mengetuk pintu dan memperkenalkan diri namun pintu tak dibuka.

“Pasukan kami mengambil keputusan mengumpil pintu utama itu dan dalam tempoh 15 minit pintu dapat dibuka.

“Sebaik (pintu) terbuka, terdapat lima pendatang asing warga Bangladesh berada dalam rumah terbabit dan mereka tidak dapat melarikan diri kerana anggota kami sudah mengepung rumah itu,” katanya hari ini.

Empat daripada lima warga Bangladesh yang bekerja di ladang kelapa sawit itu ditahan mengikut Seksyen 6(1)(c) atas kesalahan gagal memiliki dokumen perjalanan sah.

Dalam operasi dari 2.50 pagi hingga 6 pagi itu, 14 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan di lapan lokasi di sekitar Gua Musang.

Semua tahanan yang berusia dalam lingkungan usia 19 hingga 49 tahun itu dibawa ke Depot Imigresen Tanah Merah mengikut Seksyen 51(5)(b) Akta Imigresen untuk tindakan lanjut.

Ruzaana berkata, dalam operasi sama di sebuah rumah kongsi, anggota dan pegawai Imigresen terpaksa berjalan dua kilometer untuk memasuki kawasan ladang kelapa sawit.

“Ini kerana laluannya tidak dapat dimasuki kenderaan berikutan sempit dan jauh ke dalam hutan dan kami terpaksa meninggalkan pacuan empat roda sebelum berjalan menuju ke rumah kongsi terbabit.

“Dua beradik warga Indonesia berusia 25 dan 28 tahun ditahan atas kesalahan tinggal lebih masa di rumah berkenaan,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 5:27pm
d