mutakhir

[UPDATE] 'Suspek melarikan diri ke Filipina'

Oleh Hadzlihady Hassan

POLIS sudah mengenalpasti suspek utama yang terbabit dalam pembunuhan lelaki warga Ireland yang mayatnya ditemui di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk T Narenasagaran berkata, melalui siasatan polis suspek dipercayai sudah melarikan diri dan berada di Filipina.

“Kita sudah ada butiran suspek dan akan bekerjasama dengan Interpol (polis antarabangsa) untuk mengesannya.

“Setakat ini, usaha mengesan suspek giat dijalankan,” katanya hari ini.

Sementara itu, dua individu masing-masing seorang wanita dan lelaki direman tiga hari bagi membantu siasatan kes terbabit.

Lelaki tempatan berusia 45 dan wanita berusia 41 tahun itu ditahan sebelum ini selepas kelibat mereka dirakam kamera litar tertutup (CCTV) beberapa hari sebelum kejadian bunuh berlaku.

Difahamkan salah seorang individu yang ditahan itu dilihat memasuki kondominium bersama-sama mangsa pada jam 9.57 malam Jumaat.

Berdasarkan CCTV, lelaki itu dilihat memasuki dan meninggalkan unit kediaman mangsa dua hari sebelum kejadian.

Isnin lalu, mayat Brian Patrick O’ Reilly, 51, ditemui dalam keadaan berlumuran darah di rumahnya di sebuah kondominium di Jalan Sultan Ahmad Shah, Georgetown.

Mayat lelaki itu ditemui pihak pengurusan kondominium dalam keadaan terlentang dengan tangan diikat tali kasut dan kakinya diikat kain.

Pemeriksaan lanjut mendapati ada kesan tikaman di perut, kelar di leher selain kecederaan di kepala, dipercayai akibat diketuk dengan kuali.

Polis turut menemui sekeping nota berhampiran mangsa, dipercayai ditinggalkan suspek selepas membunuhnya.

Mangsa yang bekerja sebagai pengurus sebuah syarikat pemasaran di Singapura itu dipercayai maut hampir 24 jam sebelum ditemui.

Kejadian disedari ejen hartanah yang gagal menghubungi mangsa untuk mendapatkan kunci pejabatnya bagi membaiki penghawa dingin.

Mangsa mendaftar masuk ke kediaman itu 4 Februari lalu dan rakaman CCTV mendapati, mangsa bersama tiga lelaki menaiki lif untuk ke tingkat 12 pada jam 9.57 malam, 1 Mac lalu namun keluar semula lima minit kemudian.

Rakaman CCTV juga menunjukkan, seorang lelaki warga asing berkulit putih keluar seorang diri dari kondominium terbabit dengan membawa beg pakaian pada keesokan harinya.

Berita berkaitan

Pembunuh tinggal nota [METROTV]

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 5:56pm
d