mutakhir

TUDM bantu pengidap ketumbuhan

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

TENTERA Udara Diraja Malaysia (TUDM) melakukan penerbangan ihsan membawa seorang wanita pengidap ketumbuhan dari Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian ke Hospital Umum Sarawak, hari ini.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM dalam satu kenyataan media, hari ini memaklumkan Cassandra Inja Umpi, 24, diterbangkan dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa menggunakan pesawat C-130H daripada No 20 Skuadron TUDM Pangkalan Udara Subang.

“Pesawat yang berlepas 12.10 tengah hari dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra selamat mendarat pada 2.25 petang di Pangkalan Udara Kuching.

“Penerbangan yang mengambil masa dua jam 15 minit itu dikendalikan oleh Mejar Hamdi Tajuddin selaku juruterbang dan dibantu Kapten Mohd Aliff Shamsuddin bersama tujuh kru pesawat,” katanya.

Menurutnya, turut mengiringi waris pesakit, Engdawie Engtingi dan seorang pegawai perubatan, Dr Karthingesu Murugan.

“TUDM amat komited bagi memberikan komitmen tinggi dalam memenuhi keperluan masyarakat.

“Seluruh warga TUDM turut mendoakan supaya pesakit itu diberikan kesembuhan dan sihat seperti sedia kala,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 6:12pm
d