mutakhir

'Jangan timbulkan konflik'

Oleh Nur Aqidah Azizi

PENGERUSI PKR Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyeru semua ahli parti supaya tidak menimbulkan konflik berhubung pemilihan calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau.

Beliau berkata, kepemimpinan parti melakukan terbaik untuk memilih calon yang dapat memastikan kemenangan kepada parti pada PRK itu.

“Saya berharap semua ahli bertenang dan memahami kesukaran yang dihadapi pemimpin dalam membuat keputusan.

“Ia tidak mudah tetapi saya berharap semua ahli dapat bersatu dan bersabar,” katanya.

Aminuddin yang juga Pengerusi PH negeri berkata, pelbagai kriteria dipertimbangkan sebelum calon dipilih.

“Ia memerlukan pertimbangan dan kebijaksanaan menyeluruh dan ada strategi tertentu yang perlu dilaksanakan untuk memastikan kita dapat memenangi kerusi berkenaan.

“Memilih calon yang disukai tidak menjamin kemenangan. Namun, kita akan memastikan pandangan akar umbi diambil kira,” katanya ditemui selepas menyerahkan dokumen pemilikan rumah kepada 11 penerima rumah mampu milik Type A di Taman Bukit Sarimban, Sikamat, Seremban hari ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Azhar Azizan Harun hari ini, mengumumkan tarikh penamaan calon untuk PRK DUN Rantau akan diadakan pada 30 Mac, diikuti pengundian awal pada 9 April dan pilihan raya kecil 13 April.

Sementara itu, ditanya mengenai senarai calon, Aminuddin mengakui parti sudah mempunyai berbelas nama seperti yang disebut oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Ia bukan pilihan raya kecil yang mudah untuk PKR dan PH. Kita akan turun sebagai ‘underdog’ tetapi sudah pasti kita akan memberikan saingan sengit,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 6:34pm
d