mutakhir

Peraturan berceramah di Johor masih sama

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

PERATURAN berceramah di Johor masih sama kepada semua pendakwah seperti mana ditetapkan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sebelum ini.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Aminolhuda Hassan berkata, seperti dikehendaki pendakwah yang berceramah tidak boleh membabitkan isu politik dan isu sensitif.

“Jangan babitkan isu politik dan sensitif, jangan sentuh mana-mana pihak yang tidak sewajarnya disentuh dan jangan babitkan unsur fahaman yang bertentangan dengan Ahli Sunnah Waljamaah.

“Inilah perkara yang menjadi sensitiviti kepada kerajaan negeri,” katanya ketika ditemui pada Majlis Perasmian Penutup Tenaga Kejurulatihan Modul Bersepadu Kursus Praperkahwinan Islam di Iskandar Puteri hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim, Mohd Helmi Sha’ri @ Shangari.

Aminolhuda berkata, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar sendiri memberi peringatan kepadanya ketika dilantik menjadi exco supaya memastikan perkara itu tidak berlaku.

“Kalau nak ceramah, buat saja ceramah, jangan sentuh isu sensitif dan jangan salah gunakan tauliah yang diberi untuk buat sesuatu ucapan sehingga timbul perpecahan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Pada sama sama, Aminolhuda berkata, senarai nama pendakwah yang dilarang berceramah di negeri itu memang wujud, namun ia tidak boleh didedahkan kepada umum.

“Ya, memang ada senarai itu, kita tidak nafikan kerana memang ada yang menyentuh perkara tidak sewajarnya dan kenyataan bercanggah dengan Ahli Sunnah Waljamaah.

“Kita bukan kata mereka ini tidak Islam, tetapi kita hanya mahu mengelak dari segi pandangan itu jadi berbeza dalam masyarakat, kita tak mahu jadi pergeseran pendapat, kita nak bendung benda itu,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 7:31pm
d