mutakhir

Serah diri, atau...

Oleh Siraj Mohd Zaini

POLIS meminta tiga daripada empat lelaki yang dipercayai mencederakan pelajar lelaki Tingkatan Tiga di sebuah sekolah di Setia Alam, Shah Alam, Isnin lalu, supaya menyerah diri.

Kesemua suspek itu dikehendaki selepas menyerang mangsa berusia 15 tahun terbabit di luar sekolah berkenaan dengan bersenjatakan rantai dan batang besi.

Kejadian berkenaan turut tular di media sosial sejak semalam yang memaparkan gambar kumpulan lelaki berkenaan mengejar mangsa di hadapan sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, kumpulan suspek terbabit menyerang mangsa yang ketika itu baru keluar dari sekolah.

Menurutnya, mangsa yang ketakutan berlari segera menyelamatkan diri dan masuk semula ke kawasan sekolah dan pergi ke pondok pengawal bagi mendapatkan perlindungan.

Bagaimanapun, katanya, mangsa cedera dan bengkak pada siku akibat terkena rantai besi yang dilibas seorang daripada suspek.

“Semua empat suspek itu datang ke kawasan sekolah berkenaan dengan menaiki kereta Suzuki Swift berwarna biru.

“Susulan kejadian itu, mangsa membuat laporan polis kira-kira 1 petang semalam,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Baharudin berkata, selepas menerima laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam memulakan operasi menjejaki semua suspek berkenaan.

“Seorang daripada suspek lelaki berusia 19 tahun menyerah diri di IPD Shah Alam semalam dan kini direman selama tiga hari sehingga Jumaat ini.

“Sementara itu, tiga lagi suspek kini sedang diburu dan mereka diminta untuk menyerah diri bagi membantu menyelesaikan kes ini,” katanya.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis berhampiran.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 8:59pm
d