mutakhir

'Kenapa saya dipukul?'

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

PENGAWAL keselamatan cedera muka selepas dipukul menggunakan kayu oleh sekumpulan lelaki ketika meronda di tempat letak kereta sebuah pusat beli-belah di Bangi semalam.

Dalam kejadian 1.10 pagi itu, mangsa berusia 64 tahun dikatakan membuat rondaan di lokasi terbabit sebelum dipukul seorang daripada lelaki itu dengan menggunakan kayu.

Sumber berkata, mangsa terjatuh dan hampir pengsan akibat dipukul.

“Selepas beberapa minit membelasah mangsa, semua suspek melarikan diri sebelum mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Bandar Baru Bangi hari sama.

“Mangsa yang cedera muka menerima rawatan di Hospital Kajang sebelum dibenarkan pulang dan mangsa tidak mengalami sebarang kerugian dalam kejadian itu,” katanya hari ini.

Katanya, siasatan awal mendapati suspek terbabit menaiki motosikal dan memakai topi keledar berpenutup penuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yusoff ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan menggunakan senjata,” katanya.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 11:38pm
d