mutakhir

Mandi ayam tiga kali sehari

Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

SEKURANG-kurangnya tiga kali sehari ayam ternakannya akan dibasahkan demi memastikan sentiasa sihat dan tidak terjejas akibat kemarau melanda negara ketika ini.

Harif Razik, 52, yang menternak ayam sejak berusia belasan tahun berkata, ini kali pertama cuaca panas melampau memberi kesan terhadap ternakannya.

“Pada waktu ini, minuman untuk ayam perlu atur sebaik mungkin, jika tidak ayam akan kepanasan dan boleh mati.

“Selain memberinya minum, saya turut membasahkan ayam yang diternak bagi memastikan ia tidak kehausan dan boleh turunkan suhu.

“Ayam yang dibiarkan berkeliaran mungkin tidak berhadapan masalah kerana boleh berteduh di bawah pokok tetapi ayam yang dikurung dalam reban perlu dipantau sentiasa,” katanya.

Harif atau lebih mesra dipanggil Pok Arih berkata, cuaca begitu juga berisiko menyebabkan ayam mudah dijangkiti penyakit antaranya, mata berair, tengkuk yang berbunyi dan selesama.

“Jadi, ternakan ini perlu diberi air secukupnya dan inisiatif membasahkan mereka dua ke tiga kali bergantung keadaan.

“Memang kena jaga betul-betul sebab ada antara ayam ini dibeli dengan harga yang mahal iaitu RM1,600 seekor,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 9:00am
d