mutakhir

Kes Hasanah pindah ke Mahkamah Tinggi[METROTV]

Oleh hmdigital

Kuala Lumpur: Kes pecah amanah membabitkan bekas Ketua Pengarah Organisasi Perisikan Luar Malaysia (MEIO), Datuk Hasanah Abdul Hamid dipindahkan ke Mahkamah Tinggi, di sini.

Perkara itu dimaklumkan peguam Mohd Khairul Azam Abdul Aziz yang mewakili Hasanah ketika ditemui selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi, Farah Azura Mohd Saad, semalam.

Menurutnya, mahkamah menetapkan 15 Mac ini untuk mendengar dan merekodkan permohonan pemindahan kes itu dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah.

Katanya, pihaknya turut membuat permohonan secara lisan supaya kes itu didengar hakim yang tidak pernah mendengar kes membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kita tidak tahu hakim mana yang akan mendengar kes ini, namun kita mohon bagi hakim yang tidak pernah dengar berkaitan 1MDB.

“Ini berikutan kes anak guam saya tiada kena-mengena dengan 1MDB,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah mengambil maklum permohonan itu dan menentukan hakim yang mendengar kes berkenaan nanti.

“Mahkamah Tinggi akan membuat keputusan untuk melantik hakim atau Hakim Mahkamah Tinggi itu sendiri perlu merujuk kepada Hakim Besar Malaya bagi hala tuju seterusnya,” katanya.

Menurutnya, pihaknya juga mengemukakan permohonan secara bertulis kepada mahkamah pada 15 Mac nanti.

“Semua fail Mahkamah Sesyen juga dipindahkan ke Mahkamah Tinggi kelak,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Muhd Ilmami Ahmad menfailkan notis usul untuk memindahkan prosiding ke Mahkamah Tinggi di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayub.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 10:47am
d