mutakhir

Warga emas OKU tinggal sehelai sepinggang

Oleh Nor Farhani Che Ad

WARGA emas yang juga orang kurang upaya (OKU) pertuturan dan pendengaran tinggal sehelai sepinggang apabila rumahnya musnah dalam kebakaran di Kampung Pengkalan Batu Lintang di Sungai Petani, malam tadi.

Dalam kejadian 7.30 malam itu, rumah yang didiami bersendirian oleh Mohd Amir Hamzah Hassan, 62, terbakar akibat disambar lampu pelita yang digunakan.

Anak saudara mangsa, Jurianani Mohd Ali, 32, berkata, ketika kejadian, dia sedang bersiap untuk solat Maghrib sebelum mendengar panggilan jiran mengatakan bahawa rumah bapa saudaranya yang terletak kira-kira 100 meter dari rumahnya terbakar.

“Sebelum itu, Pak Long (Mohd Amir) ada beritahu penduduk kampung pelita rumah dia jatuh, mereka ingat tak ada apa memandangkan mereka pun tak berapa faham dia cakap.

“Kejadian disedari apabila ada orang kampung nampak api di kawasan rumahnya bersama asap tebal. Saya dan penduduk kampung yang lain sedaya upaya memadam api sebelum bantuan bomba tiba,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Jurianani berkata, selepas kematian datuknya lebih 30 tahun lalu, bapa saudaranya itu hidup sebatang kara kerana tidak pernah berkahwin.

Katanya, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah basikal milik bapa saudaranya itu yang digunakan untuk tujuan mencari rezeki dengan menjual buah kelapa.

Sementara itu, Pegawai Kanan Bomba (PBK) II, Aslan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.49 malam sebelum tiba di lokasi kejadian kira-kira 10 minit kemudian.

Katanya, seramai 14 anggota termasuk pegawai bersama empat jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Sungai Petani dikejarkan ke lokasi kebakaran.

“Operasi turut dibantu oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Sungai Petani, PBS Semeling dan PBS Bakar Arang.

“Ketika sampai ke lokasi kejadian, api sedang marak sehingga menyebabkan rumah kampung itu terbakar 90 peratus.

“Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 10:48am
d