mutakhir

Pengusaha laksa telur bersarang rugi RM80,000

Oleh Mohd Hafizee Mohd Arop

PEMILIK Kafe Setinggan yang terkenal dengan menu laksa telur bersarang di Bandar Seri Botani di Ipoh, kerugian RM80,000 selepas tempat masak utamanya di sebuah kedai setingkat terbakar, semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, lokasi tempat memasak yang terletak selang beberapa kedai dari kafe berkenaan musnah 80 peratus akibat kebakaran itu, manakala kedai bersebelahannya terbakar lapan peratus.

Pemilik kafe berkenaan, Azril Bidin,37, berkata, ketika kejadian, dia dalam perjalanan ke kafe sebelum dimaklumkan pekerja kedainya terbakar berpunca daripada api memasak menyambar minyak.

“Saya lebih kurang lima minit lagi hendak sampai ke kedai dan apabila sampai saya tengok tempat memasak saya sudah terbakar sebelum mendapatkan bantuan bomba untuk mengawal kebakaran.

“Ketika kejadian ada dua tukang masak saya berada di kedai dan sangat bersyukur kerana kejadian itu tidak membabitkan kemalangan jiwa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Menurut Azril, akibat kebakaran itu, operasi kedainya akan ditutup selama dua hari bagi membolehkannya membuat persiapan untuk memasak di kedai lain sebelum dijangka beroperasi semula Sabtu ini.

Katanya, kejadian itu turut mengakibatkan hampir keseluruhan peralatan memasaknya musnah dan kerugian dialami dianggarkan sebanyak RM80,000.

Sementara itu, jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, pihaknya menerima panggilan jam 2.07 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Simpang Pulai bergegas ke lokasi kejadian.

Katanya, sebaik tiba, pihaknya mendapati kebakaran membabitkan sebuah kedai dan ia turut merebak ke kedai bersebelahan sebelum anggota melakukan kerja-kerja pemadaman bagi menghalang kebakaran merebak.

“Kebakaran itu menyebabkan kedai itu terbakar 80 peratus, manakala kedai bersebelahan terbakar hanya lapan peratus dan anggota melakukan pemadaman di pintu hadapan serta belakang kedai berkenaan.

“Api berjaya dikawal sepenuhnya sebelum operasi ditamatkan jam 3.55 petang,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 11:43am
d