mutakhir

Kerajaan tak paksa ibu bapa enggan vaksin anak

Oleh Siti A’isyah Sukaimi

KERAJAAN pada ketika ini tidak mempunyai langkah untuk memaksa ibu bapa dalam memastikan anak mereka diberikan vaksin.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, bagaimanapun, mereka adalah digalakkan untuk melindungi bayi dan kanak-kanak terbabit daripada sebarang kemungkinan yang boleh berlaku.

“Kita memang menggalakkan (tetapi), kita tidak ada langkah untuk memaksa. Itu pilihan ibu bapa, namun kita mengesyorkan lindungi anak mereka daripada sebarang perkara yang mungkin berlaku sebelum penyakit terkena.

“Pada masa sama, kita masih berbincang dengan Kementerian Kesihatan dan Menteri Kesihatan bagaimana membolehkan ramai lagi ibu bapa untuk mengambil vaksin kepada anak mereka,” katanya kepada pemberita pada selepas penyerahan Kad Orang Kurang Upaya (OKU) baharu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2) di Putrajaya, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh dan Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Selasa lalu, Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik dilaporkan berkata, Kementerian Pendidikan mengutamakan kanak-kanak dan berpegang kepada pendidikan untuk semua.

Beliau dipetik berkata demikian selepas ditanya kemungkinan ada ibu bapa yang tidak mengambil vaksin kepada anak akan terjejas peluang untuk mendapat pendidikan.

Pada masa sama, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, ibu bapa diminta tidak terpengaruh dengan masalah anekdotal misalnya vaksin dikaitkan dengan autisme kerana berdasarkan bukti, ia mencegah penyakit.

Berhubung penyerahan Kad Orang Kurang Upaya (OKU) baharu di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9(2), ia dikeluarkan mengikut sub kategori di bawah Kategori OKU Pembelajaran.

Sebanyak enam sub kategori bagi pemegang Kad OKU baharu ini iaitu kelewatan pembangunan global (GDD), sindrom down, hiperaktif kurang daya tumpuan (ADHD), autisme, intelektual atau masalah pembelajaran (LD)

Beliau berkata, penyerahan Kad OKU baharu itu bagi membolehkan murid terbabit dapat dikenal pasti berdasarkan enam sub kategori yang dinyatakan sekaligus membantu guru dalam memberikan perkara diperlukan.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 12:11pm
d