mutakhir

Ingatkan jual makanan Arab

Oleh Hafidzul Hilmi Mohd Noor

TIGA premis di Jalan Bukit Bintang yang berselindung di sebalik kedai makanan Arab menjadi lubuk perniagaan barangan berjenama tiruan.

Bagaimanapun, tindakan pemilik premis yang cuba mengaut keuntungan mudah itu gagal apabila premis mereka diserbu penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), semalam.

Dalam operasi bermula 3 petang itu, KPDHEP merampas pelbagai produk di premis berkenaan dianggarkan bernilai RM39,910.

Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Kuala Lumpur, Low Swee Hon berkata, pihaknya menerima aduan syarikat pengeluar berhubung aktiviti premis itu dipercayai menjual produk tiruan menggunakan jenama syarikat berkenaan.

“Seramai 10 anggota dan pegawai terbabit dalam operasi ini yang dipecahkan kepada dua kumpulan dan bagi melancarkan serbuan, wakil pihak cap dagang turut hadir.

“Operasi ini dilakukan ke atas tiga premis, hasil risikan pihak kami sejak Januari lagi dan hasil siasatan, premis ini sudah pun diserbu beberapa kali sebelum ini,” katanya.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan premis itu didapati tutup dan berkunci dan pihak penguat kuasa terpaksa membuka premis berkenaan dengan pemotong kunci mangga.

“Antara barangan yang dirampas ialah 939 unit selipar, 197 utas jam tangan, 252 unit beg dan 360 unit kasut pelbagai jenama mewah seperti Gucci, G-shock, Nike, Mont Blanc dan Daniel Wellington.

“Pemeriksaan mendapati tiada pemilik mahupun pekerja yang bekerja ketika serbuan dijalankan,” katanya.

Katanya, serbuan terbabit membabitkan tiga kes siasatan bagi kesalahan di mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011.

“Semua barang yang disita telah disimpan di stor eksibit KPDNHEP dan pengecaman juga telah dibuat oleh wakil cap dagang,” katanya.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 1:45pm
d