mutakhir

Kerajaan Johor berminat beli Legoland.

Oleh Mary Victoria Dass

KERAJAN negeri Johor tidak menolak kemungkinan untuk membeli Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia) sekiranya menerima tawaran baik daripada Khazanah Nasional Bhd (Khazanah).

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti negeri, Jimmy Puah Wee Tse, berkata pihaknya kini sedang mendapatkan maklumat lanjut berkaitan hasrat Khazanah menjual aset taman air miliknya itu.

“Kita (kerajaan negeri) tidak tolak kemungkinan untuk beli Legoland (Legoland Malaysia), tapi kita perlu melihat kertas cadangan terlebih dahulu.

“Ia perlu bersifat ‘willing seller willing buyer’ (munasabah dan memberi keuntungan kepada kedua-dua pihak),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Persidangan Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Kota Iskandar, hari ini

Isu itu bertitik tolak daripada laporan akhbar mengenai Khazanah tidak menolak sebarang cadangan penjualan aset sedia ada miliknya termasuk Legoland Malaysia Resort (Legoland Malaysia), jika ia mampu memberi pulangan nilai lebih baik pada masa depan.

Pengarah Urusannya, Datuk Shahril Ridza Ridzuan dilapor berkata, hasil penjualan daripada aset berpotensi dan memiliki nilai pasaran baik berupaya memberikan Khazanah modal baharu untuk meneroka cabang pelaburan lain yang berupaya memberikan keuntungan lebih tinggi.

Memetik laporan Bloomberg, sayap pelaburan kerajaan itu sedang mempertimbangkan untuk menjual Legoland Malaysia yang dianggarkan bernilai sekitar RM1 bilion (AS$245 juta), termasuk hutang.

Legoland ialah taman bertemakan Lego yang pertama di Asia dengan kawasan seluas lebih 50 padang bola sepak dengan lebih daripada 15,000 model Lego yang diperbuat daripada lebih 60 juta kepingan Lego.

Mengulas lanjut, Jimmy berkata, meskipun terkejut dengan laporan media kerana pihaknya tidak dimaklumkan mengenai perkara itu, beliau bagaimana menganggapnya sebagai amalan biasa perniagaan.

“Perkara ini normal, peranan Iskandar Investment Bhd (IIB) (syarikat pegangan Khazanah yang memiliki Legoland) adalah untuk melabur dan menjayakan projek pembangunan dana apabila ia sudah berjaya mereka tiada peranan lagi.

“Ini adalah sebahagian daripada penstrukturan semula korporat.

“Siapa pun syarikat yang memiliki Legoland selepas ini, kita yakin taman tema ini akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Berita berkaitan:

  • Khazanah tidak tolak cadangan jual Legoland
  • Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 4:00pm
    d