mutakhir

'Oil boom' halang gas metana merebak

Oleh Nurul Amanina Suhaini

JABATAN Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor menggunakan peralatan penyerap minyak (oil boom) bagi mengelakkan bahan kimia dipercayai gas metana di sebatang sungai di Pasir Gudang, merebak ke kawasan sekitar.

Pengarah JBPM Johor, Datuk Yahaya Madis berkata, sehingga kini, Unit Bahan Berbahaya (HAZMAT) sedang mengambil tiga sampel iaitu sampel air di tempat kesan dibuang, sampel tanah tempat tumpahan dibuang dan sampel air di laluan sungai berhampiran dengan sekolah terbabit.

Katanya, sampel itu akan dibawa ke makmal forensik, selain Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan bersama-sama mengambil sampel untuk mendapat keputusan bagi mengetahui bahan yang dibuang di tempat itu.

“Kira-kira 30 pegawai dan anggota bomba ditugaskan di lokasi termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), HAZMAT Melaka dan bahagian forensik.

“Maklumat daripada saksi mengatakan ada ternampak dipercayai lori tangki berada di tepi Sungai Kim Kim, Kota Masai berhampiran jambatan yang sedang dibina untuk menurunkan (mengalirkan) sesuatu menerusi hos, kira-kira jam 2 pagi.

“Berdasarkan laporan, kawasan terjejas membabitkan lingkungan jarak 500 meter daripada sungai sepanjang kira-kira 1.5 kilometer,” katanya pada sidang media di lokasi kejadian di pasir Gudang, hari ini.

Yahaya berkata, sehingga kini, seramai 20 orang termasuk pelajar dan pekerja kantin terjejas.

“Ia membabitkan 11 murid sekolah rendah, enam sekolah menengah kebangsaan dan tiga pula pekerja kantin daripada dua-dua sekolah,” katanya.

Terdahulu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Johor Bahru, Lokman Hakim Sulaiman, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 5.15 pagi tadi.

Katanya, dua sekolah yang terbabit adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 4:04pm
d