mutakhir

Permohonan peneroka ditimbang

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

KERAJAAN Negeri Sembilan akan mempertimbangkan permohonan peneroka yang mahu bayaran cukai tanah ditangguhkan berikutan kelewatan bayaran sara hidup bulanan diterima daripada FELDA.

Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, bagaimanapun pihaknya perlu meneliti pelbagai perkara sebelum membuat keputusan.

“Biar saya kaji dahulu dan melihat situasi yang berlaku ketika ini, namun yang pastinya peneroka tidak akan diberi pengecualian daripada membayar cukai tanah.

“Peneroka masih lagi menerima bayaran sara hidup cuma terlewat, malah cukai tanah peneroka pula tidak terlalu tinggi berbanding tanah yang kerajaan serahkan kepada peneroka,” katanya.

Aminuddin berkata, kutipan cukai memberi hasil kepada kerajaan negeri dan jika tidak membayar cukai, ia akan menyukarkan kerajaan menyalurkan perkhidmatan kepada rakyat.

Sementara itu, Pengerusi Badan Bertindak Peneroka Wilayah Raja Alias Mohd Nasir Abd Rahman berkata, peneroka masih belum menerima bayaran sara hidup bagi Januari dan Februari lalu.

Katanya, berikutan itu, peneroka memohon kerajaan negeri menangguhkan kutipan cukai tanah berikutan kelewatan bayaran sara hidup terbabit.

FELDA pula menerusi laman sosial Facebook bertarikh 28 Februari lalu turut memaklumkan masalah kewangan menyebabkan kelewatan pembayaran dan perkara itu kini dalam perhatian pihak terbabit.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 4:10pm
d