mutakhir

Jentolak 'lanyak' kubur lama

Oleh Mohd Khidir Zakaria

LEBIH 200 kubur lama di Tanah Perkuburan Islam Kota Lukut, Port Dickson, ditimbus dengan tanah oleh kontraktor dipercayai bagi mewujudkan tapak kubur baharu.

Harian Metro difahamkan, kubur lama yang wujud sejak 1940-an ‘diratakan’ tanpa dimaklumkan kepada waris.

Hampir keseluruhan kawasan tanah perkuburan seluas kira-kira 0.5 hektar itu sudah diratakan dan hanya beberapa batu nisan lama yang masih kelihatan.

Penduduk tempatan, Jeffry Azly Johari, 42, berkata, dia kecewa apabila kontraktor yang menjalankan kerja menaik taraf kawasan itu mengabaikan kubur lama berusia lebih 80 tahun di situ.

Menurutnya, dia mendapati banyak batu nisan ditimbus begitu sahaja dengan menggunakan jentolak.

“Saya dapat tahu kawasan ini akan dinaik taraf untuk tanah perkuburan baru.

“Apa yang mengecewakan, tindakan kontraktor yang tidak sensitif dan tidak menghormati perasaan waris.

“Saya terkejut melihat kawasan ini sudah diratakan, namun yang hairan tiada pula usaha mengalihkan kubur lama yang ada di sini.

“Lebih menyedihkan ada waris tidak dapat mengecam mana kubur ahli keluarga mereka kerana batu nisan sudah bertaburan,” katanya ketika ditemui wartawan Harian Metro, hari ini.

Jeffry berkata, hanya beberapa nisan kubur lama yang masih ada di kawasan itu.

Katanya, penduduk mengalu-alukan penambahbaikan kawasan perkuburan itu tetapi sewajarnya ia dilaksanakan dengan cara yang baik.

“Tidak mustahil suatu masa nanti apabila kubur baru digali akan jumpa tulang mayat.

“Saya berharap pihak berwajib mengambil langkah segera mengalihkan kubur lama ke kawasan baru sebagai menghormati waris simati,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) Mohd Zaidi Ramli ketika dihubungi berkata, pihaknya akan menyiasat perkara itu untuk tindakan selanjutnya.

Keterangan gambar:

1. Jeffry menunjukan kubur lama yang masih ada di Tanah Perkuburan Islam Kota Lukut, Port Dickson.

2. Jeffry menunjukan kubur lama yang sudah ditimbus tanah tetapi masih kelihatan di Tanah Perkuburan Islam Kota Lukut, Port Dickson.

3. Tanah perkuburan lama yang dinaik taraf dan sebahagian kubur lama dipercayai ditimbus oleh pihak kontraktor tanpa memaklumkan kepada waris.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 4:16pm
d