mutakhir

[UPDATE] 8 kritikal terhidu gas metana

Oleh Nurul Amanina Suhaini

SERAMAI lapan daripada 28 individu kini kritikal selepas terhidu gas dipercayai metana berikutan pembuangan bahan kimia secara haram berhampiran kawasan sekolah di Taman Pasir Putih, Pasir Gudang, pagi hari ini.

Kesemua 28 mangsa itu membabitkan 24 pelajar sekolah, manakala empat baki mangsa membabitkan pekerja kantin di kawasan sekolah terbabit.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, seramai 19 mangsa dihantar ke Hospital Sultan Ismail (HSI), Klinik Kesihatan Pasir Gudang (tujuh) dan Hospital Penawar (dua) berikutan insiden itu.

“Daripada 19 mangsa yang dihantar ke HSI, lapan masih dirawat di Zon Merah iaitu zon kritikal manakala bakinya di Zon Kuning,” katanya ketika ditemui selepas melawat pusat operasi di luar Sekolah Menengah Kebangsaan Pasir Putih, Pasir Gudang, hari ini.

Difahamkan, mangsa yang dihantar ke Klinik Kesihatan Pasir Gudang dan Hospital Penawar berada dalam keadaan stabil.

Semua mangsa membabitkan 24 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih, selain empat pekerja kantin yang berusia lingkungan tujuh hingga 40 tahun.

Seramai 1,400 pelajar di kedua-dua sekolah itu diarahkan mengosongkan kawasan sekolah pagi tadi apabila ramai pelajar mengalami sesak nafas, muntah dan pengsan selepas terhidu gas metana.

Berita berkaitan

'Oil boom' halang gas metana merebak

Gas kimia: 1,400 pelajar diminta kosongkan sekolah

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 4:38pm
d